150,000 pengguna dapat manfaat 'autogate' kod QR

150,000 pengguna dapat manfaat 'autogate' kod QR

am@hmetro.com.my

Jeli: Kemudahan 40 kaunter ‘autogate’ Sistem Kod Respons Pantas (QR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 21 hari yang lalu sudah dimanfaatkan lebih 150,000 pengguna.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemudahan itu adalah langkah inovatif ke arah mempercepatkan pemeriksaan kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, KDN juga menekankan usaha meningkatkan kecekapan sistem penyampaian, terutamanya melalui digitalisasi perkhidmatan.

“Ia juga memperbaiki imej negara, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Pada masa yang sama, pengembara yang memuat turun aplikasi MyBorderPass pula sudah melepasi setengah juta.

“Trend itu terus meningkat kerana untuk melepasi pemeriksaan kaunter JIM hanya memerlukan tempoh tiga saat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay,Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor) Bangunan Jabatan Kerja Raya, Datuk Ir Ibrahim Esa dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, KLIA adalah pintu masuk utama negara dan tahun lalu jumlah pelepasan adalah 15 juta orang, manakala ketibaan hampir 14 juta orang.

“Bayangkan daripada ketibaan 30 juta pelancong separuh daripadanya adalah di KLIA,” katanya.

Saifuddin berkata, beliau berharap lebih banyak kaunter pemeriksaan yang menggunakan inovasi baru itu dapat diletakkan tahun ini.

Sementara itu, Saifuddin menegaskan bahawa isu keselamatan sempadan negara diberi keutamaan dan tiada kompromi serta menyokong penutupan pengkalan haram di sempadan Kelantan.

“Kawasan Sungai Golok (Rantau Panjang) sampai ke Jeli membabitkan lebih 100 kilometer (km). Wujud pengkalan haram berlaku berdekad lamanya membabitkan pelbagai isu keselamatan antaranya penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

“Jalan tikus dan pengkalan haram adalah puncanya, maka tindakan menutupnya seharusnya mendapat sokongan semua,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top