154 pengendali makanan dikompaun

154 pengendali makanan dikompaun

am@hmetro.com.my

Batu Kawan: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengeluarkan 154 notis kompaun berjumlah RM23,000 terhadap pengendali makanan di negeri itu yang melakukan pelbagai kesalahan bermula Januari hingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata JKNPP menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) memeriksa 1,176 premis makan termasuk kilang ais.

Menurutnya, seramai 2,299 pengendali makanan turut diperiksa bagi memastikan mereka mematuhi syarat asas pengendalian makanan yang ditetapkan.

“Daripada pemeriksaan yang dijalankan, JKNPP mengeluarkan 154 kompaun berjumlah RM23,000 terhadap pengendali makanan yang melakukan pelbagai kesalahan.

“Kesemua kompaun itu dikeluarkan di bawah Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan – Peraturan Makanan 2009.

“Selain itu, sebanyak 68 sampel makanan diambil untuk dianalisa yang mana ada tindakan mahkamah sudah diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Mesra bersama Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin di Bazar Ramadan Batu Kawan, di sini, semalam.

Daniel Gooi berkata, sepanjang 10 Ramadan hanya satu sahaja aduan berkaitan pembungkusan di bazar Ramadan yang diterima pihak JKNPP.

“Aduan ini juga masih baharu diterima dan siasatan sedang dijalankan.

“Kita berharap semua pengendali makanan dapat peka dengan syarat yang ditetapkan di bawah KKM (Kementerian Kesihatan) untuk memastikan makanan (dijual) lebih selamat,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top