16 bulan selepas diserang jerung, Truwit bangkit raih pingat Paralimpik

16 bulan selepas diserang jerung, Truwit bangkit raih pingat Paralimpik

Paris: Hanya 16 bulan selepas kehilangan sebahagian kaki kirinya dalam serangan jerung, bekas perenang Yale, Ali Truwit secara rasmi boleh menggelar dirinya sebagai pemenang pingat Paralimpik apabila memenangi perak dalam acara 400 meter gaya bebas S10 wanita.

Dengan masanya 4:31.39 saat (s), Truwit turut mencipta Rekod baharu Amerika dalam acara itu, memecahkan rekod Susan Beth Scott sebelum itu 4:33.54s.

Kisah Truwit adalah kisah yang memberi inspirasi pada pelbagai peringkat.

Seorang perenang terkenal di Yale, Truwit dalam perjalanan ke Turks dan Caicos pada Mei 2023 untuk meraikan tamat pengajiannya apabila bencana berlaku.

Semasa berenang berhampiran bot yang dia dan rakan-rakannya sewa, Truwit tiba-tiba diserang seekor ikan jerung.

Dia dapat melawan haiwan itu dan berenang kembali ke bot, selepas jerung itu menggigit sebahagian besar kaki kirinya, tepat di bawah lutut.

Terpaksa diterbangkan ke hospital, Truwit menjalani tiga pembedahan berbeza sebelum doktor memotong bahagian kaki kirinya.

“Saya rasa itu adalah naluri untuk terus hidup. Ia adalah hari yang mengerikan, kenangan yang mengerikan. Ia mengejutkan, menakutkan tapi saya masih hidup. Saya masih di sini dan saya akan memanfaatkan sepenuhnya,” kata Truwit.

Selepas serangan itu, Truwit juga mengalami kecederaan emosi, mengingati masa di mana dia mengalami fobia terhadap air, walaupun latar belakangnya dalam sukan akuatik.

Bagaimanapun, itu tidak menghalangnya daripada berhubung semula dengan bekas jurulatih, James Barone pada September 2023 dan secara rasmi kembali ke kolam renang, berlumba sebagai perenang para menjelang Oktober 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top