16 daripada 60 inisiatif NACS selesai dilaksanakan – KSN

16 daripada 60 inisiatif NACS selesai dilaksanakan – KSN

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Putrajaya: Sebanyak 16 daripada 60 inisiatif Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) sudah selesai dilaksanakan membabitkan pencapaian di peringkat output sejak dilancarkan pada 7 Mei tahun lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, orang ramai boleh memantau kemajuan setiap sub-strategi di bawah tanggungjawab 19 ketua agensi peneraju menerusi papan pemuka NACS 2024-2028 yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tahniah saya ucapkan kepada kementerian dan jabatan yang sudah selesai menyiapkan inisiatif NACS. Saya juga ingin menggesa semua kementerian dan jabatan lain untuk segera menyiapkan inisiatif NACS terutamanya membabitkan jangka masa pendek.

“Diingatkan tarikh akhir penyiapan inisiatif jangka pendek adalah pada Disember 2025,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional Siri 5 Bilangan 2 Tahun 2025, di sini hari ini.

Turut hadir Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Shamsul Azri berkata, Inisiatif itu dijangka mampu meningkatkan ketelusan dan membolehkan masyarakat mengikuti perkembangan usaha pencegahan rasuah secara langsung.

Menurutnya, semua kementerian, jabatan dan agensi perlu memastikan inisiatif berkenaan dilaksanakan seperti mana perancangan dan segera memuat naik garis panduan atau SOP yang sudah dibangunkan dalam sistem berkenaan.

“Ini membolehkan rakyat mengakses dasar-dasar atau polisi-polisi baharu yang sudah dilaksanakan oleh kementerian melalui NACS, sekali gus dapat meningkatkan persepsi rakyat terhadap penyampaian sistem perkhidmatan di sektor awam,” katanya.

Shamsul Azri turut menyeru ahli mesyuarat menjadikan platform JTK sebagai ruang dan kesempatan untuk berkongsi cadangan, pandangan serta menyelesaikan isu berkaitan pengurusan tatakelola secara holistik.

Sementara itu, beliau berkata, SPRM akan menjadi tuan rumah penganjuran Mesyuarat Prinsipal Negara Asean Memerangi Rasuah (ASEAN-PAC) Ke-21 yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober ini.

Mesyuarat itu akan menghimpunkan ketua agensi pencegahan rasuah dari negara ASEAN.

Ia bertemakan Strengthening ASEAN Unity: Public-Private Partnership to Combat Corruption yang memberi penekanan kepada pengukuhan kerjasama serantau melalui perkongsian pintar antara sektor awam dan swasta dalam memerangi rasuah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top