16 kawasan penagih dadah di Johor capai status hijau

16 kawasan penagih dadah di Johor capai status hijau

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Sebanyak 16 daripada 17 lokasi yang sebelum ini dikategorikan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) penagihan dadah di negeri ini sudah mencapai status hijau.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata, kesemua lokasi berkenaan kini menjadi Kawasan Berisiko Rendah (KBR).

“Hanya satu mukim masih berstatus kuning iaitu Mukim Plentong. Segala usaha dan strategi terus digerakkan untuk menjadikan KBT bertukar menjadi KBR,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Tian Soon (BN-Yong Peng) berkata demikian menjawab soalan Hasrunizah Hassan (BN-Pulai Sebatang) mengenai perancangan kerajaan Johor menjadi negeri maju menjelang 2030 dan usaha atau tindakan kerajaan negeri dalam menangani isu dadah.

Lokasi KBT sebelum ini adalah Mukim Pulai, Sungai Tiram, Bandar Johor Bahru, Kulai, Mersing, Simpang Kiri, Simpang Kanan, Parit Sulong dan Api-Api.

Kawasan lain adalah mukim Pontian, Ayer Baloi, Jabi, Pagoh, Sungai Segamat, Parit Bakar dan Bandar Muar.

Dalam perkembangan sama, Tian Soon berkata, jumlah keseluruhan peruntukan bagi menangani masalah ketagihan dadah berjumlah RM1.13 juta bagi tahun ini termasuk program di kawasan KBT.

Katanya, impak pelaksanaan program di KBT itu dapat meningkatkan faktor pelindung dan mengurangkan risiko dalam komuniti serta meningkatkan perkhidmatan rawatan pemulihan dalam komuniti.

“Kerajaan pusat juga memberi peruntukan berjumlah RM275,362 kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor untuk melaksanakan program-program pendidikan pencegahan dadah.

“Ini adalah strategi Dadah Terkawal 2025 dengan fokus menangani penyalahgunaan dadah secara kolaboratif bersama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top