16 pelajar, 12 pensyarah PSIS bantu 21 keluarga B40, OKU

16 pelajar, 12 pensyarah PSIS bantu 21 keluarga B40, OKU

TAIPING: Seramai 16 pelajar dan 12 pensyarah Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) telah menyertai Projek Kampung Angkat MADANI (KAMBEST TVET) bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih 21 buah rumah kediaman milik
penduduk daripada golongan B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Batu 8, Bendang Siam, Changkat Jering, Perak.

Inisiatif yang digerakkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) ini merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa komuniti luar bandar menerusi penerapan kemahiran pendidikan TVET, selari dengan aspirasi konsep Malaysia MADANI.

Antara objektif utama projek ini adalah untuk menaik taraf dan melestarikan landskap kampung, membina gazebo bagi kegunaan rekreasi, melaksanakan pendawaian elektrik fasa tunggal untuk rumah kediaman, serta menjalankan kerja-kerja asas pembaikan rumah penduduk kampung tersebut.

Projek yang berlangsung dari 5 hingga 20 Ogos 2025 ini melibatkan seramai 162 orang pensyarah dan pelajar daripada 10 institusi di bawah rangkaian PolyCC dari seluruh negara, yang hadir untuk memberikan sumbangan tenaga, kemahiran dan ilmu kepada komuniti setempat.

Dalam inisiatif membaiki 21 buah rumah, skop kerja merangkumi penggantian kotak agihan elektrik (DB Box), pendawaian semula wayar elektrik, pemasangan lampu solar di bahagian luar rumah, pembaikan bumbung bocor, penggantian lantai dan tiang kayu, serta baik pulih tingkap dan pintu yang usang.

Pelajar dan pensyarah Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) dari Jabatan Kejuruteraan Awam telah mengambil tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja membaiki bumbung bocor, menggantikan lantai dan tiang kayu yang rosak, serta membaik pulih tingkap dan pintu yang usang di rumah-rumah penduduk yang terlibat dalam projek ini.

Projek ini diketuai oleh Kolej Komuniti Bagan Serai dengan penglibatan sembilan lagi institusi, iaitu Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Politeknik Nilai (PNS), Politeknik Jeli (PJK), Politeknik Bagan Datuk (PBD), Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB), Kolej Komuniti Seberang Jaya (KKSJ), Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT), Kolej Komuniti Selandar (KKSL), dan Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL).

Majlis Perasmian KAMBEST TVET telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail.

Hadir sama, Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK, Dr. Mohd Daud Isa: Pengarah Kolej Komuniti Bagan Serai, Mohd Faizul Bin Ridzuan, Pengarah PSIS, wakil Pejabat

Pembangunan Negeri Perak, Pengarah-Pengarah Bahagian, dan Pengarah-Pengarah PolyCC. – UTUSAN

Scroll to Top