16 tukang urut bakal bersaing di Kejohanan Urut Eropah

16 tukang urut bakal bersaing di Kejohanan Urut Eropah

H: 16 tukang urut bakal bersaing di Kejohanan Urut Eropah

Mary Victoria Dass

am@hmetro.com my

Foto Ihsan

Johor Bahru: Seramai 16 tukang urut dengan kemahiran urutan tradisional dan urutan sukan bakal menyertai Kejohanan Urut Eropah yang akan berlangsung di Paris, Perancis bermula 20 Mei hingga 27 Mei depan.

Jurulatih dan tenaga pengajar dalam bidang urutan, Rosmawati Ishak, 41, berkata peserta tempatan berkenaan terdiri daripada lima lelaki dan 11 perempuan berusia antara 20 hingga 50-an.

Menurutnya, ia termasuk seorang pemenang dan seorang finalis Kejohanan Urut Asia Tenggara 2025 pada Januari lalu di negara ini.

Katanya, kesemua peserta negara berkenaan bakal berentap dengan 241 tukang urut atau juruterapi dari 48 negara.

“Penyertaan ini adalah suatu sejarah baharu dalam dunia urutan tradisional berikutan pada tahun lalu, saya menjadi peserta tunggal mewakili negara dan berjaya muncul sebagai peserta keempat terbaik daripada 156 peserta antarabangsa.

“Kami sudah berlatih sejak setahun lalu bakal mengetengahkan urutan Melayu termasuk urutan tradisional selain urutan sukan.

“Menerusi penyertaan ini, kami akan menonjolkan keunikan urutan tradisional yang penuh dengan tertib dan kesopanan serta membantu kesejahteraan hidup,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mahu memperkenalkan urutan tradisional di persada antarabangsa dan memperkenalkan teknik urutan sebagai produk pelancongan negara.

“Banyak amalan masyarakat kita seperti urutan tradisional, mandian herba, lulur atau berbengkung sejak turun temurun untuk penjagaan kesihatan dan kecantikan.

“Ia mempunyai potensi besar untuk dipromosikan sebagai produk pelancongan negara dan kami berharap menerusi penyertaan ini dapat melahirkan lebih ramai untuk menceburi kemahiran mengurut.

“Kemahiran mengurut ini menjanjikan masa depan cerah, malah boleh menjadi sumber pendapatan sampingan bagi suri rumah, ibu tunggal sehinggalah golongan profesional,” katanya.

Katanya, penyertaan dalam kejohanan urutan juga adalah untuk mengubah tanggapan ramai mengenai bidang urutan yang hanya diceburi golongan berusia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top