am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Seramai 160 pelajar Tingkatan Enam hari ini mula menjalani Program Pendidikan Tingkatan Enam di dua Kampus Universiti Awam membabitkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata program yang dilaksanakan secara rintis itu julung kali diadakan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha memartabatkan kualiti pendidikan negara.
Katanya, lebih 5,000 permohonan diterima untuk mengikuti program berkenaan yang ia melebihi kuota ditetapkan.
“Sebanyak 100 tempat disediakan bagi Program Tingkatan Enam Kampus UKM, manakala sebanyak 60 tempat disediakan bagi Program Tingkatan Enam Kampus USM.
“Melihat barisan (pelajar) yang mendafar hari ini, saya sangat gembira apatah lagi ia datang dari pelbagai sekolah terbaik dalam Malaysia.
“Hal ini menunjukkan bahawa program ini mendapat kepercayaan penuh daripada masyarakat khususnya ibu bapa untuk memberi laluan kepada anak mereka melanjutkan pendidikan Tingkatan Enam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, hari ini.
Jelasnya, tempoh pengajian bagi program itu berlangsung selama 18 bulan yang pelajar terpilih akan menginap di asrama disediakan oleh pihak universiti sepanjang tempoh pengajian dan boleh menggunakan kemudahan yang terdapar di universiti.
Terdahulu, KPM memaklumkan Program Pendidikan Tingkatan Enam di Universiti Awam mulai tahun ini adalah bagi lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Katanya, dua bidang pengajian ditawarkan iaitu Sains dan Sains Sosial bagi mereka yang membuat permohonan kemasukan program itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd