am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Beberapa cadangan penambahbaikan pengurusan lampu jalan sudah dirangka pihak berkuasa bagi memastikan keberkesanan sistem pencahayaan di kawasan Lebuhraya Pasir Gudang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, ia merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang, yang memastikan masalah ditangani sebaiknya.
Katanya, bagi langkah jangka pendek, pemantauan berkala akan dipertingkatkan supaya semua lampu jalan dipastikan berada dalam keadaan baik serta berfungsi mengikut jajaran penyelenggaraan yang ditetapkan.
“Bagi langkah jangka sederhana, kerja pembaikan akan dilaksanakan secara one-off bagi menangani kerosakan lampu jalan dengan lebih cepat dan menyeluruh, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada tindakan pembaikan berulang.
“Untuk langkah jangka panjang, adalah dicadangkan penukaran sistem lampu jalan daripada penggunaan feeder pillar kepada sistem pencahayaan berasaskan solar supaya dapat meningkatkan kecekapan tenaga serta mengurangkan kos penyelenggaraan pada masa hadapan, selain mengelakkan isu kecurian kabel.
“Cadangan ini diharapkan dapat mengurangkan aduan berkaitan lampu jalan dan seterusnya meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengguna di kawasan berkenaan,” katanya di sini, baru-baru ini.
Beliau mengulas laporan semalam mengenai kebimbangan pengguna Lebuhraya Pasir Gudang berhubung laluan yang gelap dan kurang pencahayaan.
Untuk rekod, Lebuhraya Pasir Gudang adalah jalan Persekutuan sepanjang 30.3 kilometer (km) yang berada di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) namun penyelenggaraan lampu jalan dikendali dua agensi iaitu JKR dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Mohamad Fazli berkata, bermula dari BHP Perling sehingga ke persimpangan Perling sepanjang 1.5km adalah di bawah seliaan JKR yang mempunyai 52 tiang lampu manakala persimpangan Perling ke Bandar Seri Alam Atau Taman Rinting sepanjang 23.5km pula di bawah pengurusan MBJP.
Katanya, terdapat 1,308 tiang lampu dalam jajaran itu yang mana 167 daripadanya didapati tidak berfungsi.
Bulan lalu di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau turut dilapor berkata, bahawa MBJB sudah melantik kontraktor penyelenggaraan tahunan bermula tahun depan untuk memastikan keadaan lampu sepanjang jalan dalam keadaan baik, selain memperuntukkan RM1 juta untuk pembaikan kabel bawah tanah dan kelengkapan yang dijangka siap pada 15 Disember.
Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke e-mel Suara Anda, Kami Dengar di am@hmetro.com.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd




