169 beg tabung darah dikumpul dalam enam jam

KUANTAN – Sebanyak 169 beg darah berjaya dikumpul dalam tempoh masa enam jam sempena Kempen Menderma Darah Hari Malaysia anjuran Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang.

Timbalan Pengarah 1 Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang, Hailmi Ismail berkata, kempen kali pertama diadakan di pusat membeli-belah Megamall, Kuantan sebaik sahaja  Pahang memasuki Pelan Pemulihan Negara fasa 2.

Hailmi Ismail

“Sebelum ini kempen derma darah terus dijalankan biarpun pada musim pandemik, yang mana penderma darah boleh terus ke Unit Tabung Darah Hospital Tengku Ampuan Afzan.

“Program hari ini melibatkan 15 sukarelawan dan kakitangan Unit Tabung Darah Hospital Tengku Ampuan Afzan bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang.

“Alhamdulillah, sasaran untun mendapatkan 169 tabung beg darah tercapai bagi membantu meningkatkan bekalan pek darah HTAA sempena hari bersejarah,” ujar Hailmi.

Wan Mohd Azmi Mamat

Seorang penderma, Wan Mohd Azmi Mamat yang berkesempatan menderma darah pada Hari Malaysia bersyukur kerana boleh kembali menderma darah di tempat awam seperti yang dianjurkan oleh Jabatan Amal.

“Ini kali ke-15 kali menderma darah dan apabila Pahang memasuki fasa kedua PPN, ia akan lebih menggalakkan lagi penderma darah lain untuk menderma darah dalam kempen yang dianjurkan.

“Pada musim Covid-19, ramai yang rasa takut-takut untuk menderma darah, tapi sebenarnya ia sumbangan kita kepada penerima darah sangat penting ketika pesakit Covid bertarung nyawa,” katanya.

Suhaili Zahari

Sementara itu, Suhaili Zahari, 41 tahun pula merasa teruja kerana ini merupakan pengalaman pertama sebagai penderma darah.

“Sebelum ini, kadang-kadang tidak sihat kerana makan ubat, jadi tidak melayakkan diri menderma darah.

“Namun pada hari ini berasa teruja kerana berpeluang menderma darah pada kali pertama, ia jatuh pada 16 September,” ujar beliau.- MalaysiaGazette