17 hilang selepas bot nelayan langgar pengangkut pukal di Indonesia

17 hilang selepas bot nelayan langgar pengangkut pukal di Indonesia
Kapal penyelamat dikerahkan ke Laut Jawa pada Januari. (Gambar AP)

JAKARTA: Penyelam sedang mencari 17 nelayan yang dilaporkan hilang, selepas bot mereka merempuh sebuah pengangkut pukal dan terbalik di perairan Laut Jawa pada Ahad, kata jurucakap agensi mencari dan menyelamat Indonesia.

Jurucakap Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Yusuf Latif dalam kenyataan berkata, 15 kru daripada bot nelayan Barokah Jaya dipindahkan selepas insiden pada Sabtu, tetapi lima penyelamat masih mencari baki 17 nelayan.

“Kami masih melakukan pencarian itu,” katanya sambil menambah sebuah kapal penyelamat menaikkan kumpulan nelayan terselamat itu.

Beliau berkata, pelanggaran itu berlaku pada 9.30 pagi dan pengangkut pukal itu, Habco Pioneer, berkapasiti hampir 30,000 tan. Kedua-duanya ialah kapal Indonesia.

Tiada laporan kematian atau kehilangan kru Habco Pioneer, yang dimiliki syarikat kapal tunda dan tongkang, PT Habco Primatama.

Scroll to Top