17 pemimpin BERSATU dipecat

17 pemimpin BERSATU dipecat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 17 pemimpin BERSATU sudah dipecat keahliannya oleh Lembaga Disiplin parti itu hari ini.

Pemecatan itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam satu notis makluman bertarikh hari ini.

Dalam notis itu, memaklumkan bahawa Lembaga Disiplin sudah melaksanakan tugas-tugasnya di bawah Tatacara Pengurusan Kes Disiplin BERSATU pada 12 Februari 2026 dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan peruntukan FASAL 22.5 Perlembagaan BERSATU.

“Mana-mana Ahli BERSATU yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan di jatuhi hukuman adalah berhak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 HARI dari tarikh surat ini,” tulis notis itu.

Dari senarai penuh dikongsikan Lembaga Disiplin parti itu, menyaksikan Timbalan Presiden BERSATU yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dipecat, selain tiga Ahli Parlimen lain serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Tiga Ahli Parlimen BERSATU yang dipecat adalah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

Dua ADUN yang turut dipecat pula ialah ADUN Sungai Manik yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

Sementara sembilan Ketua Bahagian BERSATU yang dipecat setakat ini, Ketua Bahagian BERSATU Larut, Mohd Hassuandi Hamzah; Yunus Nurdin (Libaran); Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Ahmad Ishak (Gopeng); Kamaruddin Majid (Teluk Intan); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ahmad Meon (Tangga Batu) serta Ketua Bahagian BERSATU Tapah, Mhod Yunus Yusop.

Turut dipecat adalah Ketua Srikandi Muda BERSATU Sabah, Nabila Norshahar dan Ketua Penerangan BERSATU Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top