Lahad Datu: Sabah Electricity mengesan 170 rumah serta premis terlibat dengan sambungan elektrik secara tidak sah dan melakukan usikan pepasangan meter secara haram dalam Operasi Martabat di sekitar Lahad Datu selama tiga hari bermula Selasa lepas.
Sabah Electricity dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mengesan 100 rumah terlibat dengan penyambungan elektrik tidak sah manakala 70 premis terlibat dengan pepasangan meter secara haram.
“Dalam Operasi Martabat di Lahad Datu, kerugian hasil yang dikesan dianggarkan RM273,000 sebulan. Aktiviti haram itu bukan sahaja membahayakan nyawa, malah mengakibatkan kerugian besar kepada negara dan mengganggu bekalan elektrik kepada pengguna sah,” menurut kenyataan itu.
Operasi Martabat diteruskan sehingga 30 Ogos ini dan menyasarkan penurunan kadar kehilangan tenaga di Lahad Datu daripada 17.17 peratus kepada 15 peratus.
Orang ramai diminta melaporkan aktiviti mencurigakan berkaitan bekalan elektrik kepada Sabah Electricity menerusi hotline 15444 atau aplikasi mySESB.
© New Straits Times Press (M) Bhd