am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Sebanyak 171 notis dikeluarkan kepada kenderaan termasuk saman dalam operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan di sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, awal pagi tadi.
Dalam operasi antara 4 petang semalam sehingga 2 pagi tadi itu, sebanyak 16 kenderaan disita.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, sebanyak 205 kenderaan diperiksa dan 132 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan serta 171 notis dikeluarkan termasuk saman, sita dan arah periksa.
“Bagi tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 91 kes direkodkan dengan 11 kenderaan disita, membabitkan 10 motosikal dan sebuah kereta.
“Seramai 12 individu menjalani saringan air kencing dan kesemua didapati negatif.
“Sementara itu, JPJ merekodkan 41 kes dengan pengeluaran 80 notis atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, antara kesalahan utama yang dikesan termasuk lesen memandu, lesen kenderaan, pengubahsuaian teknikal kenderaan serta pelanggaran undang-undang lalu lintas.
Katanya, sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dikenakan 13 saman atas kesalahan ubah suai ekstrim termasuk tidak mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaan yang tamat tempoh sejak 2018.
“Motosikal itu disita untuk tindakan lanjut oleh pihak JPJ, manakala sebuah kereta jenis Honda turut disita atas kesalahan menukar enjin tanpa kebenaran.
“Operasi dilaksanakan susulan kegiatan menduga kelajuan dan aktiviti kumpulan motosikal rempit serta kumpulan berkereta di sekitar LTSIP yang turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan,” katanya.
Menurutnya, operasi merangkumi elemen penyamaran, pemantauan dan penguatkuasaan membabitkan dua pegawai dan 48 anggota JSPT, 11 pegawai dan 38 anggota JPJ serta seorang pegawai dan lapan anggota polis bantuan lapangan terbang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




