175 pelumba dalam dan luar negara hangatkan Jelajah Terengganu

175 pelumba dalam dan luar negara hangatkan Jelajah Terengganu

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pelumba tempatan dan luar negara bakal berentap dalam Jelajah Gateh D’ Tranung 2024 yang bakal membuka tirainya esok.

Kejohanan edisi yang ketiga itu membabitkan penyertaan seramai 175 pelumba termasuk 56 pelumba dari luar negara.

Antara pasukan yang bakal berentap dalam kejohanan selama lima hari itu termasuk pasukan terbaik benua Asia, Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling Team (MPC), Global Cycling Team (Belanda), Australia Velofit Cycling Team (Australia), Nusantara Cycling Team (Indonesia), Sunrimoon Cycling Team (China) dan Grant Thorton Cycling Team dari Thailand.

Majlis perasmian dan memperkenalkan pasukan serta penaja berlangsung di Wisma Darul Iman pada hari ini yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Sementara itu, pengarah perlumbaan, Ahmad Sabri Mustafa berkata, kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM100,000 itu akan menjelajah daerah di Terengganu membabitkan lima peringkat perlumbaan.

Katanya, peringkat perlumbaan pertama kejohanan paling berprestij di Terengganu itu akan bermula di Pejabat Daerah Dungun membabitkan jarak sejauh 158 kilometer (km).

“Peringkat kedua pula bermula di Kampung Lubuk Batu, Marang dan berakhir di Puncak Bukit Lubuk Batu dengan jarak laluan sejauh 107.8 km, peringkat ketiga akan bermula di Jambatan Pulau Poh daerah Hulu Terengganu dengan jarak sejauh 167.5 km pada Sabtu ini.

“Peringkat keempat pula akan bermula di Pejabat Daerah Kuala Nerus pada Ahad ini dengan jarak laluan sejauh 181 km manakala peringkat terakhir akan bermula di Drawbridge dengan jarak laluan sejauh 57 km.

“Kita mengharapkan penduduk di negeri ini terutama peminat sukan basikal ini dapat memberikan kerjasama dan sokongan padu Jelajah Terengganu edisi ketiga ini,” katanya.

Sementara itu pelumba TSG, Mohamad Nur Aiman Zarif tekad untuk melakar juara keseluruhan jersi pada musim ini selepas cemerlang pada edisi lalu.

“Tahun lalu saya memenangi juara keseluruhan kategori individu terbaik selain gelaran Raja Bukit, pada edisi kali ini saya idam untuk melakar kejayaan lebih cemerlang lebih-lebih lagi beraksi di bumi kelahiran,” ujar anak kelahiran Setiu itu.

Selain Mohamad Nur Aiman, pelumba yang bakal memperkuatkan TSG termasuk Wan Abdul Rahman Hamdan, Kee Zhee Yie, Irwandie Lakasek, Abdul Halim Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan Zuladri Amin Zulkurnain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top