mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 177 aduan diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhubung kemunculan harimau belang (Panthera tigris jacksoni) di seluruh negara tahun lalu.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, daripada aduan itu, tiga ekor harimau berjaya ditangkap.
Menurutnya, tangkapan itu dilaksanakan di Perlop, Perak; Kota Gelanggi dan Chini di Pahang.
“Tangkapan harimau hanya dilaksanakan sekiranya berisiko menyebabkan kematian yang tinggi ke atas ternakan dan mengancam keselamatan nyawa penduduk berhampiran.
“Beberapa punca harimau mula memasuki kawasan penempatan antaranya pengecilan habitat akibat pembukaan kawasan hutan, kekurangan sumber makanan seperti babi hutan yang mati penyakit seperti demam babi Afrika atau African Swine Fever (ASF),” katanya.
Beliau berkata, sebagai langkah bagi menangani perkara ini, Perhilitan melaksanakan khidmat nasihat kepada penternak untuk mengurung haiwan ternakan serta pemasangan perangkap kamera bagi memantau pergerakan harimau di lokasi konflik.
“Penduduk di kawasan aduan diingat mengelakkan bekerja bersendirian semasa berada di kawasan ladang atau kebun yang berhampiran dengan kawasan hutan.
“Pastikan ternakan dikurung pada waktu malam terutamanya berhampiran kawasan hutan, elakkan provokasi sekiranya terserempak dengan harimau dan segera maklumkan kepada pejabat Perhilitan berhampiran sekiranya ternampak atau menjumpai kesan kehadiran harimau,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Kadir mengingatkan tindakan tegas kepada individu yang melakukan jenayah hidupan liar.
“Mana-mana orang yang memburu, menyimpan atau mengambil mana-mana hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya mengikut Akta 716 seperti harimau belang tanpa sebarang permit khas, jika disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.
Baru-baru ini kecoh serangan harimau belang terhadap ternakan penduduk di Felda Perlop 1, Sungai Siput, Perak.
Selain itu, tular juga rakaman video ngauman harimau berdekatan Taman Rekreasi Ujana Muallim, Proton City dekat Tanjong Malim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




