178 aktivis Global Sumud Flotilla dipindahkan ke Crete untuk dihantar pulang

178 aktivis Global Sumud Flotilla dipindahkan ke Crete untuk dihantar pulang

Athens: Aktivis daripada flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza yang diserang minggu ini oleh Israel sedang dipindahkan ke lapangan terbang di kepulauan Crete di Greece untuk dihantar pulang ke negara asal mereka, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media tempatan pada Jumaat.

Seramai 178 aktivis dari pelbagai negara, termasuk Greece, dibawa ke kampung Atherinolakkos di Lasithi, timur Crete, di mana mereka akan dihantar ke Lapangan Terbang Heraklion dengan menaiki bas, lapor penyiar SKAI, memetik sumber tempatan.

Dari lapangan terbang, aktivis itu akan dihantar pulang ke negara asal mereka, tambahnya.

Flotila bantuan kemanusiaan Global Sumud telah diserang pada Khamis berhampiran pulau Yunani itu, kira-kira 600 batu nautika dari destinasi mereka, iaitu kawasan Gaza yang musnah akibat sekatan.

Kapal pertama flotila yang membawa bantuan kemanusiaan itu belayar dari Barcelona pada 12 April, manakala armada utama belayar dari pulau Sicily, Itali pada 26 April, bertujuan untuk memecahkan sekatan Israel selama bertahun-tahun ke atas Gaza.

Israel telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu di ambang kebuluran.

Tentera Israel melancarkan serangan dua tahun yang kejam ke atas Gaza pada Oktober 2023, membunuh lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 orang dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran di seluruh wilayah yang dikepung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top