rnoraina@hmetro.com.my
Shah Alam: Sebanyak 18 aset udara terbabit dalam Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Udara Ke-20 Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.
Istiadat diadakan bagi meraikan khidmat bakti, jasa dan pengorbanan Mohd Asghar di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Dalam acara itu, lima pesawat jenis PC7 MKII melakukan terbang lintas serta membuat formasi penerbangan ketika tabik hormat.
Turut diterbangkan adalah empat pesawat helikopter jenis EC-725 AP, masing-masing tiga pesawat F/A-18 D dan C-130H, dua pesawat jenis SU-30MKM serta sebuah pesawat A400M.
Selain itu, seramai 427 pegawai dan anggota daripada lapan panji yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Muhd Faizal Abdul Rahim terbabit dalam perbarisan penuh bersejarah itu.
Mohd Asghar berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk membina dan memacu TUDM sebagai pasukan yang kredibel, moden dan berupaya melindungi ruang udara negara sejak menerajui pasukan itu pada 8 Mac 2022.
Katanya, sepanjang tempoh diberi amanah itu, TUDM berjaya melaksanakan beberapa pelan yang dirancang seperti dalam kertas putih pertahanan secara terperinci melalui Pelan Strategik Pembangunan TUDM 2055.
“TUDM sedang berada di ambang transformasi strategik yang penting.
“Maka saya menyeru warga TUDM supaya terus menjadi barisan hadapan dalam menjayakan agenda TUDM kelak, kukuhkan kefahaman terhadap teknologi dan peperangan masa kini serta akan datang.
“Sentiasa kekal relevan, tangkas dan bersedia dalam menghadapi cabaran multidimensi,” katanya ketika berucap di Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Udara Ke-20, Kenaikan Pangkat dan Serah Terima Tugas Panglima Tentera Udara Ke-21.
Selepas istiadat perbarisan penghargaan itu turut diadakan upacara pemakaian pangkat dan serah terima tugas Panglima Tentera Udara ke-21 Jeneral Datuk SeriMuhamad Norazlan Aris dengan Mohd Asghar yang disaksikan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Turut hadir Panglima Operasi Udara TUDM Leftenan Jeneral Datuk Masro Kaliwon, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara TUDM Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim serta Panglima Bantuan Udara TUDM Mejar Jeneral Datuk Ahmad Khusairi Ahmad Fadli.
Mohd Asghar bersama isterinya, Puan Sri Bibi Nasratjahan Gulab Khan kemudiannya menaiki pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM dengan ditarik jentera sambil disaksikan pegawai dan anggota perbarisan sebelum bergerak meninggalkan majlis.
Pesawat pejuang berkenaan pernah diterbangkan beliau ketikaa membuka tirai pertunjukan udara sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25), bulan lalu.
Beliau menamatkan perkhidmatan selama 40 tahun dan akan bersara wajib pada 26 Disember depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd