18 bayi, 10 kanak-kanak antara 34 diselamatkan, terperangkap banjir kilat di tadika

18 bayi, 10 kanak-kanak antara 34 diselamatkan, terperangkap banjir kilat di tadika

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seramai 18 bayi antara 34 mangsa dilaporkan terperangkap di sebuah tadika selepas banjir kilat melanda kawasan Kampung Mohd Amin yang terletak berhampiran Tepian Tebrau, di sini, petang tadi.

Banjir berpunca akibat hujan lebat lebih sejam itu memaksa pasukan penyelamat dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan semua mangsa ke lokasi selamat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 4.26 petang tadi.

Katanya, operasi turut dibantu sukarelawan Ihsan Johor serta anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

“Anggota berjaya membawa keluar lima guru, seorang tukang masak, 18 bayi dan 10 kanak-kanak tadika ke kawasan selamat.

“Operasi diteruskan dengan membuat rondaan dan penyelamatan di kawasan berhampiran,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Seorang penduduk kampung memaklumkan kawasan berkenaan antara lokasi panas banjir di sekitar bandar raya ini.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 15 rumah terkesan membabitkan 60 mangsa, namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka kerana banjir kilat surut dengan cepat sekitar jam 7 malam tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top