Tumpat: Sebanyak tujuh pam digunakan dalam kerja pemadaman di tapak pelupusan sampah Kampung Kok Bedullah, di sini, yang terbakar sejak 18 hari lalu.
Kebakaran membabitkan 12 hektar daripada tapak seluas 20 hektar itu kini hanya berbaki lima peratus sahaja dan operasi pemadaman dijangka selesai dalam beberapa hari sahaja lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, operasi pemadaman dijalankan dengan cara membuat saliran di tengah timbunan sampah dan menyalirkan air untuk diserap.
“Semua pam itu disediakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi sumber air dari Sungai Pengkalan Nangka.
“Kira-kira 40 penduduk sekitar yang terjejas disebabkan kebakaran itu dan sebelum ini ditempatkan di sebuah resort di Pantai Seri Tujoh, sudah pulang ke rumah masing-masing,” katanya kepada pemberita di tapak pelupusan sampah di sini, hari ini.
Kebakaran bermula pada 19 Februari lalu itu mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terburuk mencecah paras sangat tidak sihat iaitu 218 menyebabkan penduduk di kawasan sekitar itu dipindahkan selama beberapa hari.
Tuan Mohd Saripudin berkata, pihaknya tidak dapat memastikan punca kebakaran di tapak pelupusan sampah itu sama ada disebabkan faktor kemarau panjang atau perbuatan disengajakan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak ia mungkin berpunca daripada individu yang menceroboh kawasan itu menyelongkar sampah.
“Kerajaan tidak pernah memberi kebenaran untuk mana-mana individu memasuki kawasan tapak pelupusan sampah, namun tidak dinafikan ada terlepas daripada pemantauan pihak berkuasa disebabkan itu kerja mereka (cari rezeki dengan selongkar sampah).
“Bagaimanapun jika perbuatan menceroboh itu dilakukan secara terancang, ia boleh dikenakan tindakan.
“Mungkin ada membuang puntung rokok secara tidak sengaja sehingga menyebabkan berlakunya kebakaran, ditambah pula dengan kemarau panjang yang menjadikan kebakaran itu berlarutan,” katanya.