18 tahun Papa pergi, lagu 'Cicak' hidup sampai Denmark

18 tahun Papa pergi, lagu 'Cicak' hidup sampai Denmark

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: “Sudah 18 tahun papa meninggal dunia, sebagai anak saya bangga lagu ‘Cicak’ dinyanyikan oleh warga Denmark.

“Saya sangka lagunya makin dilupakan oleh peminat memandangkan dia sudah lama meninggal dunia akibat kuman dalam paru-paru ketika berusia 39 tahun,” kata Nur Izzati Ayuni Darulnaim, 27.

Nur Izzati Ayuni adalah anak kedua daripada empat beradik kepada pendikir barat Kelantan yang dikenali sebagai Cikgu Naim atau nama sebenarnya, Darulnaim Mamat.

“Ketika itu saya berusia sembilan tahun dan adik-beradik yang lain masih kecil. Namun ingatan saya masih utuh mengenai sikap arwah yang menyayangi keluarga dan minat dengan dikir barat.

“Papa akan mencari ilham mencipta lagu dengan berada di dalam bangsal di atas pokok di belakang rumah.

“Ketika waktu lapang, papa akan membuat persembahan dan merakam video dikir barat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, dia bersama ibu, Nor Afiza Bunsu, 51, dan adik-beradik lain akan mengikut arwah ayahnya untuk melihat persembahan dikir barat termasuk di kawasan kampung.

“Papa minat dengan dikir barat sejak zaman remaja dan lebih 20 lagu yang sempat dia rakam.

“Selepas lagu Cicak tular sejak seminggu lalu, saya naikkan status di TikTok dan tidak sangka rupanya papa mempunyai ramai peminat.

“Ada anak murid papa komen dan dari situ saya tahu dia dahulu ajar subjek apa dan sekolah mana,” katanya.

Terdahulu, lagu dikir barat berjudul Cicak tular selepas sekumpulan remaja dari Denmark menyanyi di khalayak ramai sambil menari.

Video itu mendapat reaksi positif dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya peminat dikir barat yang melahirkan rasa bangga apabila lagu Cicak itu dikenali sehingga ke luar negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top