alagesh@nst.com.my
Cameron Highlands: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita kenderaan pacuan empat roda ketika membawa pelancong ke kawasan tarikan hutan hujan popular di sini.
Tindakan ini diambil selepas pihak berkuasa mendapati cukai jalan kenderaan itu sudah tamat tempoh sejak 18 tahun lalu.
Jurucakap JPJ Pahang memaklumkan, anggota JPJ cawangan Cameron Highlands menahan kenderaan model Land Rover itu di Jalan Sungai Palas menghala ke Gunung Brinchang di sini, kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
“Kenderaan itu dipandu seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun yang membawa tiga penumpang.
“Hasil pemeriksaan mendapati cukai jalan kenderaan itu tamat tempoh pada 1 April 2008, sekali gus tidak dilindungi insurans.
“Pemandu pacuan empat roda itu kemudian dikenakan dua saman trafik, manakala kenderaan itu disita dan dibawa ke Depot Sita JPJ Raub untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, mengikut undang-undang, memandu tanpa cukai jalan yang sah boleh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman denda sehingga RM2,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd




