Selepas 18 tahun terpisah daripada keluarga, akhirnya penantian seorang wanita Malaysia yang terkandas di Lombok, Indonesia berakhir dengan kepulangannya ke tanah air pada 14 Februari 2026.
Norida Akmal binti Ayob dibawa pulang ke Malaysia bersama anak perempuannya dan selamat tiba di KLIA 2, sekali gus menamatkan kisah panjang penuh dugaan yang dilaluinya di negara jiran.
Ikut suami ke Lombok, hidup berubah selepas perkahwinan tak kekal

Menurut hantaran Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Norida sebelum ini mengikut suaminya yang merupakan warganegara Indonesia ke Lombok bersama anak perempuan mereka dan menetap di sana.
Namun, perkahwinan mereka tidak kekal dan Norida akhirnya hidup sendirian dalam keadaan susah dan daif.
Perkongsian itu menyebut beliau mencari rezeki sebagai tukang sapu demi meneruskan kehidupan bersama anak-anak selepas berpisah dengan suaminya yang berkahwin lain.
Lebih menyedihkan, keluarganya di Kampung Bukit Sapi Lenggong memaklumkan bahawa Norida berada dalam keadaan serba kekurangan dan anak-anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan.
Usaha pelbagai pihak bawa pulang ke tanah air

Kisah Norida yang mahu kembali ke Malaysia diketahui apabila keluarganya datang menemui Shamsul Anuar dan memaklumkan keadaannya.
Susulan itu, usaha membawa pulang Norida dimulakan melalui kerjasama Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Jabatan Imigresen Malaysia serta pihak berkuasa Indonesia khususnya jabatan imigresen negara berkenaan.
Seorang pegawai turut dihantar ke Lombok bagi membantu urusan membawa pulang Norida dan anak-anaknya.
Norida mempunyai dua orang anak iaitu Nur Fateen Akmadiana yang lahir di Malaysia dan berstatus warganegara Malaysia, manakala Muhamad Sabani Daniel pula warganegara Indonesia kerana dilahirkan di negara tersebut.
Pssttt! Kisah Norida ini benar-benar menyentuh hati. Hidup hampir dua dekad di negara orang dalam keadaan serba kekurangan bukan sesuatu yang mudah. Syukur usaha pelbagai pihak membuahkan hasil dan akhirnya dia dapat kembali ke pangkuan keluarga. Semoga kepulangan ini menjadi titik permulaan yang lebih baik buat dirinya dan anak-anak.
Kredit: Facebook Shamsul Anuar Nasarah
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.




