essabuyamin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 1,822 mangsa banjir daripada 495 keluarga masih berlindung di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di tujuh negeri, setakat 5 petang, hari ini.
Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu menurun berbanding 2,193 mangsa yang direkodkan pagi tadi.
Sebanyak 11 PPS masih beroperasi di Perak, manakala tujuh lagi di Perlis, diikuti Selangor (empat), Pahang (tiga) dan Sarawak (dua).
Selain itu, satu PPS direkodkan masih beroperasi masing-masing di Kelantan dan Sabah.
Keseluruhan mangsa banjir membabitkan 603 lelaki dan 566 perempuan, manakala 607 kanak-kanak, 47 bayi, 203 warga emas dan 38 orang kurang upaya (OKU).
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri sehingga 7 petang ini.
Menurut kenyataan MetMalaysia, cuaca buruk itu dijangka melanda di seluruh Pulau Pinang, Kedah (Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu) dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Manjung).
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang) , Pahang (Lipis, Jerantut dan Maran), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang dan Kuala Langat) dan Johor (Mersing dan Kota Tinggi).
Turut terbabit Sarawak: Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Song) dan Bintulu (Tatau) dan Sabah: Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




