mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 1,875 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan, termasuk badan berkanun, perlu memulangkan semula dana awam yang dikesan tiris dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, kesemua jabatan dan organisasi awam itu tidak akan terlepas daripada tindakan apabila laporan itu diterbitkan oleh pihaknya.
Menurutnya, tindakan yang dibuat oleh Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit Negara (JSLKAN) mengesan beberapa ketirisan yang pada akhirnya akan dikutip semula, sama ada dalam penyata kewangan negeri atau penyata kewangan Kerajaan Persekutuan.
“Malah, kita juga mengaudit badan berkanun dan 1,875 syarikat GLC dan apabila kita mengesan ketirisan berlaku, sama ada yang tidak dikutip, tidak diterima atau sebagainya, kita akan pastikan tindakan susulan dilakukan.
“Dalam proses ini, kita bukan sekadar mahu hasil itu dipulangkan semula malah kita juga mengesan sama ada berlakunya ketidakteraturan serius atau isu-isu tadbir urus,” katanya pada sidang media Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP), di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Ketua Audit Negara juga sedang meneroka teknologi baharu bagi mengesan penipuan sejajar dengan trend penipuan yang semakin kompleks dan berkembang.
“Jabatan Audit Negara kini sedang menjalani proses pendigitalan, di mana hampir semua audit kini dijalankan secara digital, terutamanya audit melibatkan syarikat, yang sudah pun bermula.
“Kami juga sedang meneroka bagaimana kami boleh menggunakan teknologi baharu untuk mengesan penipuan, terutamanya isu penipuan yang kompleks dan baru muncul. Ini sudah menjadi sebahagian daripada proses kerja kami yang sedang berjalan.
“Sementara itu, berkaitan pangkalan data bersama, ia adalah satu idea yang kita sedang teliti namun perlu diambil kira bahawa Jabatan Audit Negara tertakluk kepada perlembagaan dan akta audit di mana ada kekangan, tetapi kita akan bekerjasama dalam lingkungan had akta masing-masing,” katanya.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd