Tanjong Karang: Cubaan 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang cuba menyeludup masuk menerusi pesisir pantai gagal apabila mereka ditahan di Jalan Parit 4, Kampung Sungai Burong, di sini, semalam.
Mereka yang terdiri daripada lapan lelaki dan 11 wanita berusia 23 hingga 49 tahun dikesan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Superintendan Rizal Mohamed berkata, hasil siasatan mendapati individu itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.
“Mereka masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan iaitu jalan laut.
“Mereka menggunakan bot dari Tanjung Balai, Indonesia dan mendarat di pesisir pantai Kampung Sungai Burong, di sini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Rizal berkata, tangkapan dibawa ke Balai Polis Tanjong Karang untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.