191 notis terhadap peniaga sejak penyasaran subsidi diesel

191 notis terhadap peniaga sejak penyasaran subsidi diesel

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan 191 notis terhadap peniaga yang menaikkan harga pada kadar tidak munasabah susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, Isnin lalu.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata, notis itu dikeluarkan selepas pemeriksaan menerusi Ops Kesan 2.0 ke atas 346 premis di seluruh negara.

“KPDN membuat persediaan rapi bagi menangani sebarang aduan terhadap mana-mana peniaga yang didapati menaikkan harga pada kadar tidak munasabah.

“Ini terutama kepada mereka yang mendapat manfaat daripada penyasaran subsidi diesel dan juga kepada peniaga yang sememangnya tidak layak menerima subsidi diesel sebelum pelaksanaannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Fuziah berkata, selain notis, pihaknya menerima 23 aduan dan membuka tiga kertas siasatan sejak pelarasan subsidi diesel dilaksanakan.

Justeru, beliau mengingatkan khususnya peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 demi menjaga dan melindungi hak pengguna.

Bagi sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah berikutan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, orang ramai boleh mengemukakan sebarang maklumat dan aduan melalui talian khas Ops Kesan 2.0 iaitu 012-6654292.

Selain talian khas, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada KPDN di portal e-Aduan iaitu eaduan.kpdn.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top