19,264 pesakit mental direkodkan di Negeri Sembilan – EXCO

19,264 pesakit mental direkodkan di Negeri Sembilan – EXCO

am@hmetro.com.my

Seremban: Negeri Sembilan merekodkan 19,264 pesakit mental dari 2021 hingga kini dengan Seremban mencatat jumlah tertinggi seramai 11,090 pesakit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata, daerah lain yang turut merekodkan pesakit mental ialah Kuala Pilah (2,456), Port Dickson (2,174), Jempol (1,039), Tampin (1,008), Rembau (812) dan Jelebu (685).

“Data hospital kerajaan di Negeri Sembilan setakat ini juga menunjukkan 285 pesakit skizofrenia, 319 pesakit kemurungan dan sembilan pesakit kebimbangan sedang menerima rawatan.

“Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) dan dapatan saringan, antara punca masalah kesihatan mental dan penyakit mental ialah tekanan hidup dan ekonomi iaitu kos sara hidup yang meningkat, pengangguran serta hutang isi rumah.

“Selain itu masalah keluarga dan hubungan sosial iaitu konflik rumah tangga, perceraian, kekurangan sokongan emosi dan masalah kesihatan kronik serta bencana beban penyakit tidak berjangkit (NCD) serta kehilangan harta benda,” katanya ketika menjawab soalan Chew She Yong (PH-Lobak) pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Tengku Zamrah (PH-Ampangan) berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh kesihatan mental rakyat.

Beliau berkata, antara inisiatif itu termasuk promosi kesihatan mental, pemantapan perkhidmatan di fasiliti kesihatan dan pengembangan Perkhidmatan Pusat Kesihatan Mental Komuniti (MENTARI).

“Negeri Sembilan adalah satu-satunya negeri yang mempunyai tiga Pusat Komuniti Kesihatan Mental (MENTARI) iaitu di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, Hospital Port Dickson dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top