1MDB: Pertuduhan terhadap Najib sah dan tidak cacat

1MDB: Pertuduhan terhadap Najib sah dan tidak cacat

am@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pertuduhan yang dikemukakan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah sah dan tidak cacat di sisi undang-undang, kata Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika membacakan keputusannya dalam kes skandal terbesar negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion menyangkal pendapat pasukan pembelaan bahawa pertuduhan terhadap Najib adalah ‘cacat dan samar-samar.’

“Saya dapati pertuduhan itu memenuhi semua kriteria undang-undang di bawah Kanun Tatacara Jenayah,” kata hakim itu.

Katanya, mahkamah juga tidak mendapati Najib ‘terpedaya’ dengan tuduhan itu.

Katanya lagi, tiada motif jelas untuk saksi utama pendakwaan memberi keterangan terhadap Najib dalam kes 1MDB.

Individu yang disebut termasuk bekas gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, bekas pembantu Najib Datuk Amhari Efendi Nazarudin, dan bekas ketua eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Sequerah berkata, pihak pembelaan berhujah bekas perdana menteri itu dijadikan kambing hitam dalam penipuan 1MDB yang lebih besar dan didalangi oleh orang lain.

“Amhari dan Jasmine mengaku menerima dana daripada Low Taek Jho manakala Shahrol Aral menerima gaji dan bonus.

“Zeti dan ahli keluarganya turut disebut, dengan cadangan motif tersembunyi.

“Walaupun terdapat dakwaan terhadap mereka, mahkamah menegaskan saksi-saksi ini tidak berdepan tindakan undang-undang yang menjejaskan pembabitan Najib.

“Memandangkan semua bukti, mahkamah menyatakan bahawa saksi ini tidak dibicarakan, dan oleh itu analisis terperinci mengenai sikap mereka tidak diperlukan,” katanya.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 14 Feb 2011 dan 19 Disember 2014.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bekas menteri kewangan itu berhadapan dengan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sama ada lima kali ganda nilai terbabit atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Dairpada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top