2.62 juta kampit beras putih tempatan sudah diedarkan

2.62 juta kampit beras putih tempatan sudah diedarkan

am@hmetro.com.my

Tapah: Sebanyak 2.62 juta kampit beras putih tempatan (BPT) sudah diedarkan di seluruh Semenanjung setakat semalam, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Katanya, edaran pek beras 10 kilogram itu membabitkan 21,190 premis runcitan meliputi pasaraya, kedai runcit, dan lain-lain.

“Tetapi ada lagi di kawasan-kawasan pedalaman yang belum sampai. Jadi kita harap pihak PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) memainkan peranan supaya di mana yang belum sampai itu dapat kita segerakan.

“Pihak jentera kita akan cuba (mengedarkan) termasuklah kepada pengedar seperti ahli perniagaan agar mereka dapat sampaikan kepada masyarakat supaya pengguna dapat beli dengan harga yang lebih murah, terutama kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis berbuka puasa sempena Program Libat Urus Menteri KPKM bersama Pemimpin Peladang Perak di PPK Tapah, di sini, semalam yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP, Fauzi Badron.

Menurutnya lagi, dalam tempoh lima bulan lagi, sebanyak 24 juta kampit BPT disediakan yang diharap sampai kepada golongan sasaran khususnya kumpulan B40.

Februari lalu, media melaporkan KPKM memberi jaminan 24 juta beg 10kg BPT bersubsidi akan berada di pasaran seluruh Semenanjung.

Pembelian itu dihadkan kepada dua kampit setiap bulan bagi 400,000 ketua isi rumah (KIR) miskin dan dijual pada harga RM26.

Terdahulu pada majlis itu, Mohamad menyampaikan cek cura Program Pembangunan Industri Buah-buahan, Kelapa dan Tanaman Kopi daerah Batang Padang 2025 kepada 43 penerima yang berjumlah RM573,920.

Turut disampaikan peruntukan Program Pembangunan Industri Sayur-sayuran, Tanaman Kontan dan Bawang Merah kepada 56 penerima bantuan berjumlah lebih RM1.37 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top