2 beradik lemas ketika berkelah di pantai Pulau Mentigi

2 beradik lemas ketika berkelah di pantai Pulau Mentigi

am@hmetro.com.my

Mersing: Niat dua beradik untuk berkelah bertukar tragedi apabila kedua-duanya ditemukan lemas di pantai Pulau Mentigi, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 petang itu, mangsa, Nur Awatif Udaima Mohd Hisam, 15, dan adiknya Ahmad Uwais Al Qarni, 13, dipercayai lemas ketika mandi-manda bersama keluarga.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 999 dan sebelum mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat).

“Bot Perkasa 44 digerakkan ke lokasi dan mangsa pertama, Nur Awatif, ditemukan komuniti setempat kira-kira jam 4.30 petang.

“Sementara, Ahmad Uwais ditemukan lemas kira-kira jam 6.30 petang oleh pasukan penyelam komuniti.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Jeti Pulau Tinggi sebelum diserahkan kepada Pasukan Polis Marin untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top