am@hmetro.com.my
Sintok: Konflik yang masih melanda Palestin tidak melemahkan semangat dua pelajar negara itu yang melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi meneruskan cita-cita mereka.
Ruba Naim, 21, berkata dia sebelum ini menuntut di Universiti Al-Azhar, Gaza, namun universiti itu musnah akibat dibom tentera Israel.
Berikutan itu, dia bersama adiknya Isam, 20, membuat keputusan datang ke Malaysia bagi menyambung pengajiannya dalam bidang Teknologi Maklumat (IT).
“Awal tahun lalu, rumah dan universiti kami di Gaza musnah dibom menyebabkan keluarga terpaksa lari ke Mesir. Selepas empat bulan di Mesir, saya dan adik memutuskan untuk menyambung pelajaran di Malaysia dan kami tiba di negara ini pada 2 September lalu.
“Di Gaza, kami berdepan dengan bom dan penganiayaan, manakala di Mesir kami tinggal di perkhemahan. Perbezaannya amat ketara, dan kami sangat seronok apabila tiba di sini.
“Saya sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan dan bersiap sedia untuk memulakan kembali pengajian yang tidak dapat saya teruskan di Gaza,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bagi Isam yang turut mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer menjelaskan, dia memilih UUM selepas bapanya, NY Naim mencadangkan universiti ini.
“Ayah memaklumkan kualiti dan kemudahan pendidikan di UUM sangat baik, selain suasana pembelajaran yang kondusif.
“Tambahan pula, UUM amat mengalu-alukan kedatangan pelajar asing khususnya warga Palestin,” katanya.
Ruba dan Isam adalah antara 79 pelajar antarabangsa yang mendaftar sebagai mahasiswa di UUM hari ini, menyertai sejumlah 4,195 pelajar, tempatan dan antarabangsa, merentasi 48 program sarjana muda.
Sementara itu, pelajar orang kelainan upaya (OKU), Nur Dini Nasuha Amir, 20, berkata UUM menarik minatnya kerana menyediakan persekitaran yang selesa kepada penuntutnya.
Beliau yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang dilahirkan tanpa tangan kiri, berharap dapat segera memulakan pengajian Ijazah Sarjana Muda Industri Kreatif bagi mencapai cita-cita menjadi animator.
“UUM turut beri bantuan e-Dompet berjumlah RM500 kerana saya berasal dari keluarga kurang berkemampuan.
“Ayah, Amir Non, 51, hanya menjual goreng pisang bersama ibu, Norlida Nordin, 50, untuk menyara keluarga kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd