Bukit Mertajam: Jarak kediaman dua beranak yang maut ditetak di Kampung Sekolah, Juru, di sini, kelmarin agak jauh menyebabkan kebanyakan penduduk di kawasan itu tidak mengetahui insiden berkenaan.
Berdasarkan tinjauan di lokasi, terdapat satu gerai kuih terletak berhadapan rumah mangsa namun ia tidak beroperasi ketika hari kejadian.
Penduduk yang enggan dikenali berkata, kebanyakan penduduk tidak mengenali mangsa kerana mereka sekeluarga baharu saja berpindah dan menyewa di rumah terbabit.
“Rata-rata memang tak kenal suami isteri dan anak mereka yang tinggal dekat situ. Saya difahamkan mereka baru berpindah dan sebelum ini tinggal di tempat lain.
“Masa kejadian dekat waktu Maghrib, jadi kebanyakan penduduk ada di dalam rumah. Kedudukan rumah kami jauh manakala di hadapan pula terdapat jalan besar yang kenderaan sentiasa lalu lalang.
“Jadi memang tak dengar langsung ada bunyi orang menjerit meminta tolong atau apa-apa pun. Nak kata mereka (suami isteri) bergaduh pun kebanyakannya tidak tahu,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, penduduk hanya mengetahui kejadian itu selepas suami mangsa berlari memaklumkan insiden menimpa isteri dan anak perempuannya.
“Itu pun hanya beberapa orang sahaja mengetahuinya sehinggalah tidak lama kemudian, kejadian ini viral (tular) di media sosial yang mendorong penduduk keluar dan berada di hadapan rumah mangsa bagi melihat apa berlaku.
“Kami tidak menyangka kejadian sekejam ini boleh berlaku di sini dan kami berharap ada pembelaan untuk ibu serta anak terbabit,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dua beranak maut dalam kejadian bunuh di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah, Juru, di sini yang mayat mereka ditemukan suami mangsa jam 7.30 malam.
Mayat Allahyarham Sariya Che Hin,51 ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah berkenaan dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya hampir putus, manakala mayat Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, dalam keadaan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.
Laporan bedah siasat mendapati punca kematian dua beranak itu disebabkan tetakan di belakang leher dengan menggunakan senjata tajam dipercayai pisau pemotong daging.
Polis menahan reman suami mangsa berusia 57 tahun selama tujuh hari bermula semalam hingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Setakat ini, motif pembunuhan masih dalam siasatan polis.
- Jenazah dua beranak dikebumi dalam satu liang lahad
- Corak kecederaan hampir serupa, ibu dan anak dipercayai diserang dalam tempoh sama – Pakar Patologi
- Kematian kedua-dua mangsa akibat tetakan di belakang leher
- ‘Arwah Sariya gembira dan ceria, dia tak pernah cerita masalah dengan sesiapa’ – Ibu saudara mangsa bunuh
- Sariya ambil Nur Afrina sebagai anak angkat sejak kecil
- ‘Saya tak boleh terima, binatang pun sayangkan anaknya’ – Abang mangsa bunuh
- Lelaki ditahan polis
- Rakaman suara tular: ‘Isteri aku dengan anak aku kena bunuh’
- Suami sebak beritahu jiran anak isteri mati dibunuh
- Ibu, anak dipercayai dibunuh dalam keadaan mengerikan
© New Straits Times Press (M) Bhd



