2 beranak ditahan eksploitasi buruh paksa terhadap dua pembantu rumah

2 beranak ditahan eksploitasi buruh paksa terhadap dua pembantu rumah

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Dua beranak ditahan bagi membantu siasatan berkenaan eksploitasi buruh paksa terhadap dua pembantu rumahnya yang juga warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata suspek wanita berusia lewat 50 an dan anak perempuannya berusia awal 30an ditahan selepas dua mangsa diselamatkan.

Katanya, serbuan dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sebuah rumah di Kayangan Heights dekat sini, kira-kira jam 2.30 petang pada Khamis lalu.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis menyelamatkan dua wanita warganegera Indonesia masing-masing berusia 48 tahun dan 33 tahun.

“Hasil temubual, mangsa pertama memberitahu sudah bekerja selama tempoh dua tahun manakala seorang lagi bekerja selama sebulan dengan majikan mereka.

“Mangsa turut mendedahkan telefon bimbit dan pasport mereka dirampas oleh majikan, dipaksa bekerja lebih masa serta sering dipukul selain tidak dibayar gaji sejak dua bulan yang lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berkenaan direman tiga hari sehingga esok.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 13 Akta Anti-Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) yang mana jika disabitkan dengan kesalahan memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang tiga tahun tetapi tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Md Anuar Md Amilah@Harun di talian 019-2255597,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top