bhnews@bh.com.my
IPOH: Seorang ibu dan anak perempuannya berdepan detik cemas apabila nyaris hanyut ketika berpaut pada kereta yang tersangkut dalam arus deras di Dusun Sungai Meru di sini, petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya menerima panggilan pada jam 6.04 petang memaklumkan kejadian itu sebelum anggota bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati dua mangsa terperangkap di tepi kereta jenis Toyota Vios akibat arus deras.
“Kedalaman air dianggarkan hampir satu meter dan mangsa berpaut di tepi kereta dari dihanyutkan arus deras,” katanya
Katanya, anggota bertindak menggunakan tali bagi menyelamatkan mangsa.
“Dua tali digunakan dan dua penyelamat menggunakan ‘personnel floating devise (PFD) bergerak secara perlahan mengikut arus untuk sampai kepada mangsa,” katanya.
Katanya, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan, malah kereta mangsa juga tidak dihanyutkan kerana air mulai surut secara perlahan-lahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd