am@hmetro.com.my
Bentong: Dua cedera selepas bas persiaran dipercayai terbabas dan merempuh dua kenderaan di Kilometer 17.3, Jalan Turun Genting Highlands, di sini, hari ini.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dua mangsa yang cedera akibat nahas jam lima petang itu membabitkan pemandu bas persiaran dan pemandu kereta.
Menurutnya, kemalangan berlaku ketika bas persiaran dipandu seorang lelaki tempatan dan membawa 20 penumpang warga Vietnam dan pemandu pelancong tempatan dalam perjalanan dari arah Genting Highlands ke Genting Sempah.
“Bas terbabit dipercayai hilang kawalan dan merempuh Perodua Myvi dinaiki dua wanita dan teksi kenderaan pelbagai guna (MPV) juga ke arah Genting Sempah.
“Pemandu bas persiaran dan pemandu kereta terbabit hanya cedera ringan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.
“Semua penumpang bas persiaran, penumpang Perodua Myvi, pemandu dan penumpang teksi tidak mengalami sebarang kecederaan. Punca kemalangan masih disiasat.” katanya menerusi kenyataan media.
© New Straits Times Press (M) Bhd




