BERLIN: Dua cedera dalam serangan menggunakan pisau di bandar Erfurt di Jerman selepas tiga hari serangan yang hampir sama menyebabkan kematian di bandar Wuerzburg, Bavaria.
Menurut polis di bandar Jerman Tengah, penyerang melarikan diri dan polis menggunakan helikopter mengesannya.
Jurucakap polis memaklumkan dua mangsa yang cedera, masing-masing berusia 45 dan 68 tahun, dibawa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan dan kecederaan dialami mereka tidak serius dan mengancam nyawa.
Penyerang dipercayai berusia antara 20 dan 30 tahun, memakai baju panas warna coklat dan mengenakan seluar ‘ joging’ warna gelap, berambut kerinting perang kemerahan dan wajah yang berparut.
Menurut polis, pasukan forensik dengan anjing pengesan dikejarkan ke tempat kejadian.
Dalam serangan yang berlaku Jumaat lalu, seorang lelaki berusia 24 tahun mengamuk dengan mengacukan pisau di bandar Wuerzburg, menikam tiga wanita hingga mati dan menyebabkan enam yang lain cedera parah.
Suspek, seorang warga Somalia tiba di Jerman pada 2015, melakukan serangan itu di sebuah kedai peralatan rumah dan bank berhampiran.
Dia kemudian berjaya diberkas polis selepas mereka menembak pahanya.
Siasatan mendapati lelaki itu pernah menerima rawatan psikiatri, dan polis menyatakan lelaki itu bukan seorang pejuang Islam.
Menurut saksi mereka mendengar lelaki berkenaan melaungkan kalimah ‘Allah Akbar’ sambil menangis ketika menikam mangsa, menimbulkan tanda tanya mengenai motif serangan itu. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd