2 faktor punca jalan rosak, cuaca dan kenderaan berat

2 faktor punca jalan rosak, cuaca dan kenderaan berat

nfazlina@nstp.com.my

Bachok: Dua faktor utama yang menyumbang kepada jalan rosak di seluruh negara adalah cuaca hujan dan kenderaan berat yang membawa lebih muatan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, disebabkan itu kementerian memerlukan sebanyak RM4 bilion bagi membaik pulih jalan di seluruh negara.

“Memang untuk membaik pulih dan menaik taraf jalan di seluruh negara kita memerlukan RM4 bilion, namun kita tidak pernah mendapat peruntukan sebanyak itu, sebaliknya kita mendapat hampir RM2 bilion sahaja kerana kerajaan sendiri mempunyai kekangan tertentu.

“Namun kita sentiasa berharap akan mendapat peruntukan yang lebih setiap tahun bagi membaik pulih jalan yang rosak kerana ada jalan sudah ‘berusia’ dan permukaannya perlu diturap.

“Apa yang kita kenal pasti, dua faktor yang menyumbang kepada jalan rosak adalah cuaca dan kenderaan berat yang membawa lebih muatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bachok, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, kementerian sebelum ini ada mencadangkan supaya sebarang kutipan yang dibuat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung cukai jalan dan segala saman had laju diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk digunakan bagi membaik pulih jalan rosak.

“Perkara ini sudah pun disuarakan, namun tidak mendapat maklum balas. Justeru, sekiranya ada cadangan daripada pihak tertentu, pertimbang untuk menaikkan cukai untuk kenderaan yang membawa muatan berat, kita serahkan kepada dua kementerian iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pakar sebagai berkata, kerajaan perlu pertimbangkan untuk menaikkan cukai ke atas kenderaan yang membawa muatan berat seperti lori dan treler yang menjadi punca utama kerosakan jalan raya dan menggunakan hasil itu untuk membaik jalan yang rosak.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia, Law Teik Hua dilaporkan berkata, cukai itu boleh membantu KKR mengimbangi beban kos baik pulih jalan raya yang dianggarkan mencecah RM4 bilion setahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top