am@hmetro.com.my
Muar: Dua hari bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) akibat kemalangan di Kilometer 144.9 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), Isnin lalu seorang bayi akhirnya menghembus nafas, Rabu lalu.
Difahamkan, Ayesha Sofea Anwaruddin, 2, meninggal dunia pada jam 11.13 pagi akibat cedera parah selepas kereta dinaiki bersama ahli keluarga dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) hingga terbabas.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya menerima laporan kematian salah seorang penumpang kereta, semalam.
Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku jam 7.30 pagi membabitkan dua kenderaan iaitu MPV dengan kereta dinaiki keluarga mangsa.
“Siasatan mendapati, kemalangan berlaku apabila MPV dari arah sama, hilang kawalan lalu merempuh belakang kereta dinaiki mangsa.
“Rempuhan itu, menyebabkan kereta terbabit hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh besi penghadang lebuh raya,” katanya dalam kenyataan.
Raiz Mukhliz berkata, akibat kemalangan itu, tiga penumpang kereta terbabit cedera dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.
Katanya, polis turut menjalankan ujian nafas terhadap pemandu MPV namun dia bebas daripada bahan terlarang.
“Siasatan dijalankan sejak hari kemalangan berlaku dan polis akan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi kemalangan diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd