am@hmetro.com.my
Butterworth: Seorang gelandangan warga emas dipercayai terperangkap hampir dua hari di dalam perigi sedalam lima meter berhampiran sebuah restoran nasi kandar di Jalan Telok Air Tawar di sini
Petang tadi, lelaki berusia 63 tahun itu ditemui dalam keadaan keletihan sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.29 petang.
Katanya, sebaik tiba mangsa telah dibawa keluar dari perigi terbabit dengan bantuan orang awam.
“Mangsa mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keletihan selepas dikatakan telah terjatuh ke dalam perigi itu selama dua hari.
“Dia telah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menerima rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, operasi kemudian ditamatkan jam 6.33 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




