bhnews@bh.com.my
KUANTAN: Dua helikopter jenis AW139 dan AW189 terbabit dalam operasi memadam kebakaran hutan di Muadzam Shah, Rompin, menggunakan teknik pengeboman air, semalam.
Pesawat berkenaan menjalankan operasi itu dalam usaha menyekat kebakaran daripada merebak lebih meluas di hutan terbabit.
Maklumat menerusi hantaran di Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, menyatakan operasi pemadaman dilakukan pegawai dan anggota daripada unit udara, pasukan pemadaman dan pasukan Multi Skill Team (MUST).
“Hujan bermula tengah hari hingga petang semalam membantu memadamkan kebakaran hutan. Selain itu, operasi pemadaman turut dilakukan melalui jalan darat,” katanya.
Berdasarkan rekod, Rompin merekodkan kebakaran hutan seluas 300 hektar di Muadzam Shah dan dua hektar lagi di Leban Chondong.
Di Pekan pula, kebakaran hutan membabitkan kawasan Kampung Cenderawasih, Sungai Miang dengan keluasan dua hektar, manakala Kampung Alur Beruang berhampiran Penjara Penor di sini, membabitkan hutan seluas tiga hektar.
Sementara itu, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan empat stesen di Pahang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana, pada jam 10 pagi tadi.
Bacaan di Rompin merekodkan IPU 70, diikuti Jerantut (57), Temerloh (51) dan Balok Baru, di sini (52), manakala Indera Mahkota, di sini pada paras baik iaitu 28.
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), manakala 300 ke atas (berbahaya).
© New Straits Times Press (M) Bhd




