2 juta rakyat Palestin kebuluran

2 juta rakyat Palestin kebuluran

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan Israel menyekat bantuan kemanusiaan memasuki Tebing Gaza sejak 2 Mac lalu mengakibatkan rakyat Palestin kini mengalami krisis kebuluran melampau selain kekurangan zat makanan.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Zulkifli Wahijan berkata, berdasarkan maklumat, Program Makanan Sedunia (WFP) di Gaza memerlukan sekitar 306,000 kilogram tepung gandum sehari bagi menyediakan roti yang juga makanan asas lebih 2 juta penduduk di sana.

Menurutnya, ini termasuk keperluan bahan asas lain seperti ragi, garam dan gula bagi menghasilkan roti.

“Kekurangan tepung gandum yang kritikal menyebabkan hampir semua kedai roti di Gaza terpaksa ditutup. Ini mengakibatkan penduduk sukar mendapatkan bekalan makanan asas itu.

“Ketika ini stok bekalan tepung gandum semakin kritikal. Malah, stok bekalan makanan dan pek makanan yang ada sudah diagih-agihkan kepada penduduk Gaza menyebabkan bekalan simpanan makanan WFP kehabisan.

“WFP menegaskan tanpa akses selamat memasuki Gaza, adalah mustahil pihaknya memenuhi keperluan makanan penduduk Gaza yang semakin meningkat. WFP menyeru pihak berkaitan membuka lebih banyak lintasan sempadan bagi membolehkan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Dia berkata, bekalan tepung gandum WFP hanya mencukupi untuk menyokong pengeluaran roti bagi 800,000 orang selama lima hari lagi.

“Difahamkan harga makanan melambung tinggi di dalam Gaza. Sebagai contoh harga satu guni tepung gandum seberat 25 kilogram meningkat kepada US Dollar 50 (RM223),” katanya.

Menurutnya, peningkatan aktiviti ketenteraan di Gaza oleh tentera Israel turut mengganggu operasi bantuan makanan selain membahayakan nyawa pekerja bantuan kemanusiaan setiap hari.

“Sama seperti apa dilakukan sukarelawan MCM, pihak WFP turut menyediakan makanan panas yang dimasak setiap hari. WFP memiliki 37 dapur di seluruh Gaza untuk memasak hidangan panas untuk 500,000 penduduk Gaza.

Kelmarin Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) memaklumkan, semua kedai roti di Gaza terpaksa menghentikan operasi berikutan kekurangan kritikal bekalan tepung dan bahan api, susulan sekatan selama sebulan oleh tentera Israel yang menghalang kemasukan bekalan penting itu ke wilayah berkenaan.

Ketua Persatuan Kedai Roti Gaza Abd al-Nasser al-Ajrami memberitahu bahawa penutupan ini turut membabitkan semua kedai roti yang menyertai WFP.

Beliau menyifatkan keadaan semasa sebagai ‘perang kelaparan’ yang berterusan, dengan kedai roti di selatan Gaza sudah menutup operasi sejak Isnin lalu manakala kedai roti yang berada di kawasan tengah dan utara Gaza dijangka mengambil langkah sama kelmarin.

Menurut al-Ajrami, penutupan ini berpunca sekatan berterusan Israel terhadap kemasukan barang keperluan yang bukan sahaja menyebabkan kekurangan tepung dan bahan api tetapi juga ragi.

Beliau berkata, situasi ini semakin memburukkan keadaan hidup penduduk Gaza yang sekian lama terjejas akibat serangan Israel dan kini turut berdepan dengan kekurangan gas memasak.

Penduduk Gaza lazimnya memerlukan 450 tan tepung sehari, dengan kedai roti menyediakan kira-kira 50 peratus keperluan penduduk.

Wilayah itu mempunyai 140 kedai roti beroperasi, termasuk 70 yang berfungsi secara automatik.

Sebilangan besar kedai roti, khususnya di utara Gaza musnah akibat serangan udara Israel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top