nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kelahiran ‘serentak’ bayi daripada isteri pertama dan isteri kedua pada hari sama 14 tahun lalu dilihat sebagai anugerah yang merapatkan hubungan keluarga besar Muhammad Faiz Hashim.
Mengimbau kembali detik indah dalam hidupnya itu, Muhammad Faiz, 44, berkata, isteri keduanya, Nik Noor Syuhada Kamarudin, 38, bersalin dua minggu lebih awal dari tarikh sepatutnya pada 31 Ogos 2010.
“Jika diikutkan, isteri pertama, Syarifah Nor Fadhilah Syed Mohd Idris, 43, yang sepatutnya bersalin pada hari itu, tetapi isteri kedua dulu bersalin.
“Dalam tempoh 24 jam, isteri pertama pula bersalin di hospital swasta sama di Kuantan, Pahang. Malah, kelahiran kedua-dua anak saya disambut oleh seorang doktor wanita yang sama.
“Saya ingat lagi apabila doktor itu berasa pelik kerana saya masuk ke bilik bersalin dua kali pada hari sama sebelum perkara itu dijelaskan kepadanya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Muhammad Faiz berkata, dia tidak menjangka kelahiran serentak itu berlaku memandangkan ketika itu dia baru setahun berkahwin dengan isteri kedua.
Katanya, Muhammad Falah adalah anak keempat daripada enam beradik bersama isteri pertama manakala Muhammad Faidhi adalah anak sulung daripada lima beradik bersama isteri kedua.
“Bagi saya, kelahiran mereka (secara serentak) adalah anugerah yang merapatkan hubungan kedua-dua isteri saya sehingga kini. Selepas melahirkan Muhammad Falah, isteri pertama perlu menjalani pembedahan akibat bengkak payudara. Isteri kedua mengambil tanggungjawab untuk menjaga Muhammad Falah termasuk menyusukannya,” katanya.
Menurutnya, keprihatinan serta keihlasan isteri kedua menyebabkan isteri pertama merasa terhutang budi dan mendorong hubungan mereka semakin rapat.
“Mereka banyak meluangkan masa bersama-sama seperti keluar membeli barang. Saya anggap ini sebagai hikmah poligami meskipun dari mula saya berkahwin dengan isteri kedua, tiada pergaduhan berlaku.
“Ini kerana sejak mula lagi saya sudah berterus terang dan jujur dengan isteri pertama kerana tidak mahu mengundang lebih banyak konflik,” katanya.
Dia yang juga pengerusi di sebuah syarikat berkata, dia merasa terpanggil untuk membetulkan persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap isu poligami.
“Tidak dinafikan ada suami berpoligami, tetapi tidak bertanggungjawab. Apa yang menjadi kesalahan apabila sudah kahwin dua, isteri pertama diabaikan namun tidak semua (suami berpoligami) begitu. Saya sendiri terapkan bahawa isteri pertama adalah punca rezeki, manakala isteri kedua adalah penambah rezeki. Kedua-duanya perlu dilayan secara sama rata dan adil dari segi nafkah serta tanggungjawab.
“Disebabkan itu dari awal perkahwinan lagi, saya kerap membawa keluarga besar ini melancong dan bercuti sama selain menyambut setiap hari lahir mereka serta perjumpaan keluarga setiap bulan bagi mengeratkan ukhwah antara kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




