2 kampung di Sabah kena PKPD, 2 lagi tamat

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan PKPD di dua lokaliti itu susulan peningkatan kes mendadak dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

PETALING JAYA: Dua kampung di Kota Belud, Sabah dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD di Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu hingga 8 April.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 89 ujian saringan di Kampung Lebak Moyoh dan daripada jumlah itu sebanyak sembilan kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Manakala, 77 ujian saringan telah dilaksanakan di Kampung Siasai Tamu dan tujuh kes positif telah dilaporkan di lokaliti ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ismail berkata dua lagi lokaliti di daerah Nabawan iaitu di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong yang sebelum ini dikenakan PKPD akan ditamatkan esok.

Katanya, kes positif di lokaliti berkenaan menunjukkan trend penurunan, kluster adalah terkawal serta semua kes positif sudah menerima rawatan.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 41 individu ditahan kerana mengingkari SOP perintah kawalan pergerakan semalam.

Daripada jumlah itu, katanya, 28 dikompaun dan 13 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (24), tidak memakai pelitup muka (tujuh), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (lima), tiada penjarakan fizikal (dua) dan lain-lain (tiga).”