2 'keldai' dadah ditahan, lebih 20 kg dadah dirampas

2 'keldai' dadah ditahan, lebih 20 kg dadah dirampas

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Dua lelaki termasuk seorang remaja yang dipercayai diperalatkan sebagai ‘keldai’ dadah ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), 30 Julai lalu.

Kedua-dua lelaki berusia 18 dan 29 tahun terbabit yang masuk ke negeri ini secara berasingan ditahan bersama lebih 20 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM667,729.44.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Siti Mang berkata, suspek pertama ditahan pada 12.30 tengah hari di Lapangan Terbang Tawau.

Katanya, hasil imbasan imej terhadap beg suspek, pihaknya mengesan 10 bungkusan plastik hijau kuning mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, semua bungkusan berkenaan berisi 10.199 gram dadah berbahaya yang dianggarkan bernilai RM326,389,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Siti berkata, bertindak atas maklumat, suspek kedua ditahan kira-kira 1 tengah hari ketika cuba melepasi pemeriksaan mesin imbasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Katanya, pemeriksaan mendapati suspek membawa bagasi berisi 10 bungkusan mengandungi dadah seberat keseluruhan 10.194 gram.

“Suspek membabitkan remaja lelaki berusia 18 tahun dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada dia mempunyai hubung kait dengan suspek pertama.

“Kedua-dua kes ini juga sedang dalam siasatan lanjut untuk mengesan sebarang jaringan sindiket yang lebih besar dan memastikan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top