2 lelaki curi kabel ditahan

2 lelaki curi kabel ditahan

am@hmetro.com.my

Kangar: Dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian curi kabel syarikat telekomunikasi (TM) di Taman Kemajuan di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 3.30 pagi itu, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar menerima panggilan orang awam mengenai aktiviti mencuri kabel di lorong di kawasan kejiranan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menggerakkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Kangar bersama kereta peronda polis ke lokasi itu.

Menurutnya, seorang suspek dilaporkan sudah melarikan diri menuju ke belakang kawasan rumah penduduk.

“Hasil bantuan orang awam, seorang lelaki berusia 31 tahun berjaya ditahan selepas cuba bersembunyi di belakang rumah penduduk penduduk di lorong perumahan itu.

“Ketika tangkapan dilakukan, suspek bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan menyebabkan dia mengalami kecederaan di kaki kanan.

“Pemeriksaan lanjut menemui beberapa barangan yang digunakan untuk mencuri kabel,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, seorang lagi suspek berusia 28 tahun berjaya ditahan di sebuah rumah di taman yang sama pada 8.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati kedua suspek itu berasal dari Sungai Petani, Kedah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik dan perlakuan jenayah lain.

“Dalam kejadian ini, kita merampas sebuah kereta Proton Iswara, sebatang besi pemotong kabel serta tiga gulung kabel sepanjang kira-kira 30 meter,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top