nfazlina@nstp.com.my
Tumpat: Dua lelaki ditemukan lemas di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Pasir Pekan, di sini petang tadi.
Dalam kejadian jam 7 petang itu, mangsa berusia 31 dan 42 tahun ditemui terapung di tepi tebing sungai kira-kira 100 meter di antara satu sama lain.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, berkata pihaknya menerima dua laporan polis berkaitan penemuan dua mayat lelaki.
“Bertindak atas maklumat, pihak polis ke lokasi kejadian dan mendapati kedua-dua mayat terapung di tepi tebing sungai dengan jarak anggaran kira-kira 100 meter antara satu sama lain.
“Mangsa masing-masing berusia 31 tahun dan 42 tahun. Pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan luaran pada tubuh mangsa.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan hasil pengesahan pegawai perubatan mendapati punca kematian adalah akibat lemas,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Tumpat di talian 09-725 7222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Pihak polis juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan aspek keselamatan, khususnya ketika berada di kawasan sungai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




