2 lelaki maut dilanggar kereta ketika isi minyak van di tepi jalan

2 lelaki maut dilanggar kereta ketika isi minyak van di tepi jalan

am@hmetro.com.my

Gerik: Dua lelaki maut dilanggar kereta ketika sedang mengisi petrol ke dalam tangki minyak van dinaiki mereka di tepi jalan di KM84.6 Jalan Kuala Kangsar-Gerik dekat Tanjung Rambai, semalam.

Kejadian berlaku pada 9.15 malam menyebabkan Muhammad Ahyad Mohamad Daud, 18, maut di lokasi, manakala pemandu van jenis Nissan C22 Vannette, Mohd Rozman Ghazali, 45, meninggal dunia ketika rawatan di Hospital Gerik.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, siasatan awal kemalangan mendapati van dinaiki dua mangsa bersama seorang lagi penumpang berusia 30 tahun berhenti di bahu jalan dari arah Kuala Kangsar kerana kehabisan minyak.

“Ketika dua mangsa sedang mengisi petrol ke dalam tangki di sebelah kanan van, datang Proton Wira dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun dari arah sama, yang cuba mengelak daripada melanggar Proton Preve dipandu lelaki berusia 60 tahun di hadapannya.

“Proton Wira itu mengelak ke kiri namun terus melanggar van serta dua mangsa berkenaan menyebabkan mereka parah, dengan seorang maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, seorang lagi penumpang van dan pemandu serta penumpang kedua-dua kereta tidak cedera.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top