2 lelaki serang polis didakwa esok

2 lelaki serang polis didakwa esok

Georgetown: Dua lelaki yang mendatangkan kecederaan kepada seorang anggota polis dalam insiden di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Ahad lepas akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan kes tersebut dan mendapat arahan untuk mendakwa kedua-dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu.

“Kedua-dua suspek yang ditahan selepas kejadian itu direman tiga hari sehingga esok dan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Insiden pada 4.30 petang itu menyaksikan mangsa yang berusia 30 tahun sedang bertugas dan telah menahan dua lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan pintu pagar IPK sebelum dibawa masuk ke dalam pos pengawal untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, kedua-duanya yang berada di bawah pengaruh alkohol, telah bertindak agresif dengan menumbuk pipi dan menggigit dada anggota bertugas sehingga menyebabkan kecederaan di mata kiri serta lebam di dada.

Selain itu, mereka mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top