2 lelaki ‘tarik duit’ didakwa tipu pengarah syarikat hampir RM300,000

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan menipu mangsa mengenai upacara ‘tarik duit’ di sebuah masjid di Shah Alam. (Gambar Reuters)

SHAH ALAM: Dua lelaki warga Guinea didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat berhubung upacara ‘tarik duit’ dan memiliki 394 keping wang palsu pelbagai negara.

Bagaimanapun, Omar Stphane, 38, dan Koroma Solomon, 47, masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama telah menipu seorang lelaki berusia 52 tahun untuk mempercayai bahawa mereka boleh menjalankan upacara ‘tarik duit’ sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM294,500 kepada kedua-dua tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah masjid di Seksyen 19, Shah Alam di sini pada awal Feb 2020 hingga 9 malam, 9 Mac lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa bersama-sama memiliki wang palsu iaitu 94 keping wang kertas dengan denominasi RM100, 216 keping wang kertas dengan denominasi RM50, 49 keping wang kertas dengan denominasi USD100 dan 35 keping wang kertas dengan denominasi 50 Pound dengan mengetahui bahawa kesemua mata wang tersebut adalah palsu.

Mereka yang didakwa melakukan perbuatan itu di stesen kereta api Seksyen 19, Shah Alam di sini pada 11 malam, 9 Mac lepas, dituduh mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan mahkamah menetapkan 19 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman manakala peguam Palaya Rengalah mewakili kedua-dua tertuduh.